Saturday, July 31, 2010

:: Antara SABAR dan MENGELUH ::

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?"
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"
Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

Thursday, June 03, 2010

:: Rindu & Air Mata di Ktzi'ot ::

Salam....

Kejadian serangan rejim Israel ke atas Mavi Marmara, sebuah kapal Turki yang merupakan salah sebuah kapal konvoi Flotila Pembebasan yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza telah membawa aku mengimbas kembali sebuah novel yang mengisahkan tentang kekejaman rejim lakantullah itu yang aku baca beberapa bulan lalu. Rindu & Air Mata di Ktzi'ot.


Ulasan Nove Rindu & Air Mata di Ktzi'ot.. petikan daipada seorang pengulas novel (click here)

*******************************

Dari awal hingga akhir mukasurat membaca novel ini hati tak sudah-sudah dihurung perasaan marah, sedih dan pilu. Terasa sangat yang dunia ini penuh kekejaman dan kepura-puraan. Ketika kita lena diulit kealpaan dan keasyikan dunia rupa-rupanya ada saudara-saudara seagama yang perit menanggung sengsara demi untuk menegakkan aqidah nan satu.

Ibrahim Pasha seorang pemuda yang sejak kecil dipelihara oleh seorang penganut Yahudi telah diberkas oleh tentera Israel kerana dituduh sebagai pengintip. Penyeksaan demi penyeksaan dilakukan ke atas Ibrahim Pasha oleh Rafael Eitan yang angkuh seolah-olah dialah pemilik sekian alam. Bagi Rafael Eitan, bangsa Yahudi adalah bangsa 'terpilih'. Rasa ngilu terus menyelubungi bila membaca saat-saat Ibrahim Pasha dipukul dengan cemeti berduri, darah memercik keluar lalu dibiarkan luka-lukanya bernanah. Bagai nak terkeluar isi perut membaca detik-detik Ibrahim Pasha dikurung di bilik kecil lagi sempit yang hanya mampu untuk duduk saja. Dibiarkan di dalam gelap gelita bersama-sama najis buangan sendiri. Juga terlalu berat untuk ditanggung bila digambarkan tawanan-tawanan perang yang digigit anjing garang sehingga mati, kalau pun tidak dipukul atau ditembak begitu sahaja sehingga mati. Ada juga yang dibiarkan tergantung di bawah gelembung plastik yang mengandungi air najis mengalir keluar mengenai kepala mereka. Hebat sungguh cubaan yang diuji ke atas mereka para pejuang Hamas dan Hezbollah.

Kegilaan Rafael Eitan tidak cuma cukup dengan menyeksa Ibrahim Pasha sahaja. Dia juga telah menangkap ibu angkat Ibrahim Pasha, Nati Hajaj, lalu menuduhnya bersubahat. Paling menyayat hati bila Nati Hajaj diseksa sehingga mati di hadapan mata anaknya sendiri.

Novel ini banyak membongkar tentang kebejatan tentera zionis untuk menakluki Palestin dan seterusnya Baitul Muqaddis yang dibantu oleh sekutu kuat mereka Amerika dan Britain. Walaupun adanya OIC untuk membendung keganasan di rantau Palestin namun ianya seakan tidak berkesan. Malah ia seolah-olah takut dan tunduk kepada kekuatan zionis.

*******************************

Bila baca novel nih, aku rasa sangat bersyukur kerana tidak berada di bumi Palestin yang 100% terdedah kepada kekejaman rejim Zionis yang takder hati perut...

Saturday, February 27, 2010

:: Pesanan terakhir Rasulullah (Isi khutbah terakhir Rasulullah) ::

Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

Kronologi perkembangan Islam

Sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Nabi_Muhammad_s.a.w.